Thursday, 5 April 2012

Perjalananku Mengajarku Mengenal Diriku

Wahai Tuhaku Penguasa & Pentadbir alam yang Maha bijaksana & Maha mengetahui


Aku ingin belajar dengan diriku sendiri


Ajarkanlah aku agar aku dapat ilmu dari kejadianku ini


Aku kaji diri lahirku, aku renung diri batinku


Aku nilai akal fikiranku, kekuatannya, bagaimana ia mendapatkan ilmu, bagaimana ia memproses ilmu


Cara mana dia menyimpan ilmu dan maklumat yang didapati dan bagaimana ia mengeluarkan ilmu dan maklumat itu



Waktu bila ia terangsang menerima ilmu dan maklumat dari yang dilihat, didengar, disentuh dan dirasa


Ketika bila pula ia terangsang mengeluarkan ilmu dan maklumat yang tersimpan itu


Kemudian aku belajar perjalanan nafsu dan peranannya, kehendak-kehendaknya bila ia merangsang, akibatnya, baik buruknya dan kesannya


Aku kaji juga hatiku atau jiwaku, perasaan yang mendatang silih berganti selalu peranannya dan kesannya


Aku kaji jasad lahirku, keadaannya, peranannya, waktu sakit, waktu sihat


Tuhanku... rupanya setiap kejadian yang berlaku pada diriku lahir dan batin, ada hikmah yang tersembunyi


Segala-galanya yang terjadi adalah didikan bagiku


Samada yang berlaku itu nampaknya positif mahupun negeriatif, ada rahsia yang tersirat ia sungguh seni


Aku nilai dengan basirahku secara halus dan teliti semuanya baik bagiku


Lantas aku faham dan mengerti mengapa Engkau lakukan kepadaku


Adakalanya aku senang, adakalanya aku susah


Ada ketikanya aku sihat ada waktunya aku sakit


Adakalanya badanku letih ada waktu badanku gagah dan cergas


Aku kaji perjalanan hatiku selalu, perasaannya silih berganti


Ada masa aku miskin ada masa tiba-tiba aku kaya


Dan berbagai-bagai lagi keadaan yang berlaku padaku silih berganti terutama perasaan hati


"Adakalanya aku sedih adakalanya aku gembiraAdakalanya aku benci adakalanya aku sukaAdakalanya hatiku resah gelisah, adakalanya hatiku tenang dan senang/damaiAdakalanya hatiku rasa marah adakalanya hatiku rasa lapang dadaAdakalanya hatiku rasa jijik, adakalanya hatiku rasa biasa sahajaAdakalanya hatiku pilu adakalanya hatiku riang dan ceriaAdakalanya hatiku rasa malu adakalanya biasa sahajaAdakalanya aku rasa takut ada ketikanya aku rasa beraniAdakalanya hatiku rasa curiga adakalanya hatiku rasa percaya"

Di sini sungguh banyak ilmu yang aku dapat, di sini sungguh banyak rahsia diriku dari-Mu yang aku gali



Rupanya sifat yang sering berubah pada diriku itu menyedarkan aku, bahawa aku adalah hamba-Mu


Kerana sifat hamba atau makhluk adalah berubah-ubah selalu


Di sini aku faham lagi bahawa sifat hamba itu tidak sempurna, sentiasa baru


Rupanya aku hamba-Mu menerima ketentuan dari-Mu


Sungguh Engkau Maha Pentadbir termasuk diriku


Aku faham lagi bahawa aku lemah, hamba memanglah lemah, agar aku selalu bergantung dengan-Mu


Dan seterusnya aku faham apa yang berlaku kepada diriku bukan kehendak aku


Rupanya segala-galanya yang berlaku pada diriku adalah kehendak-Mu


Di sini menunjukkan kelemahanku lagi bahawa sedikit pun aku tidak ada kuasa pada diriku walaupun sebesar habuk atau sebesar debu


Kuasa-Mulah sepenuhnya yang berlaku pada diriku, tidak campurtangan sedikit dariku


Kehendak-kehendak-Mulah yang terjadi ke atas diriku


Menjadikan aku takut kepada-Mu, rupanya takut aku itu kepada-Mu itulah yang Engkau mahu


Aku renung lagi kejadian yang berlaku kepada diriku, apakah rahsianya kejadian itu


Rupanya di waktu susah dan berlaku bala, agar aku sabar supaya aku dapat pahala sabar


Di masa-masa yang lain aku senang, sihat, kaya, agar aku bersyukur, supaya aku dapat pahala syukur


Itulah yang Engkau mahu dariku


Supaya aku dapat kekalkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan


Hikmah yang lain aku dapat faham supaya aku tidak sombong, tidak riyak, tidak megah, tidak bakhil, tidak tamak


Sifat-sifat itu adalah Engkau benci


Aku faham agar aku tidak di dalam kemurkaan-Mu


Begitulah yang aku faham, terima kasih Tuhan Engkau beri aku faham tentang diriku


Setelah aku kaji, renung, analisa diriku lahir dan batinnya, sungguh banyak ilmu yang aku dapat dari diriku ini


Sungguh ajaib dan menghairankanku


Di dalam diriku ada berbagai ilmu, bahkan lautan ilmu, ada ilmu hikmah, ada ilmu tauhid, ada ilmu syariat, ada ilmu tasawuf, ada ilmu akhlak


Ada ilmu yang tersurat, ada ilmu yang tersirat, ada ilmu falsafah, ada ilmu manusia, ada ilmu saikologi, ada ilmu biologi


Ada benih baik, ada benih buruk, terpulang kepada kita yang mana kita hendak suburkan


Patutlah Tuhan mengingatkan kita di dalam satu ayat Al Quran yang berbunyi:


“Di dalam diri kamu apakah kamu tidak menganalisanya.”


Hadis juga ada berkata: “Barangsiapa mengenal dirinya nescaya dia mengenal Tuhannya.”


Ertinya kalau kita perhatikan tentang diri kita sendiri,kita akan mendapat berbagai-bagai ilmu, kita akan takut Tuhan, kita akan cinta kepada-Nya, kita akan sentiasa rasa bertuhan, kita akan rasa kehambaan


Kita akan mendapat sifat taqwa
Sifat taqwa adalah bekalan kita ke Akhirat
Itulah dia keselamatan kita dunia Akhirat


Rupanya di dalam diri kita penuh dengan lautan ilmu kalau kita perhatikan.
Maha Suci Engkau Tuhan, Maha Besar Engkau, sungguh berkuasa Engkau


Puitis ilmu hicmah

No comments:

Post a Comment