Monday, 23 April 2012

Petua Menjaga Rambut Wanita


1. Walaupun pelbagai teknologi canggih diperkenalkan bagi merawat serta mencantikkan rambut, masih ramai wanita suka  mengamalkan petua orang tua-tua untuk menjaga ‘mahkota’ mereka. Antara yang paling terkenal dikalangan orang Melayu ialah penggunaan santan. Khasiatnya memang terkenal untuk melembut serta melebatkan rambut. Caranya mudah, ambil kelapa tua dan perah pekat-pekat. Biarkan sejam agar patinya naik, baru disapu pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang. Balut dengan tuala bersih dan perap selama setengah jam.



2. Selain itu, minyak kelapa yang dibuat sendiri juga elok untuk merawat rambut kering, pecah hujung serta mudah gugur. Caranya mudah, perah santan daripada 2 atau 3 biji kelapa tua. Ambil yang pekat sahaja (dua kali perahan). Kemudian jerang di dalam kuali besar tebal. Sebaik-baiknya guna dapur kayu kerana tempoh memasak minyak kelapa ini sangat lama (hampir sehari). Kemudian biarkan ia sejuk dan baru dijaram pada kepala.


3. Minyak bijan juga elok untuk melebatkan serta menghitamkan rambut. Agar lebih harum,  minyak dicampurkan dengan bunga melati atau daun pandan. Bagi mengelakkan rambut hapak, sisa minyak dipastikan telah dibasuh sebersih-bersihnya.


4. Wanita Jawa pula gemar menggunakan abu batang padi untuk mencuci rambut. Biasanya batang padi yang baru dituai, dibakar. Kemudian direndam semalaman, baru ditapis. Hampas tapisan batang padi digunakan untuk mencuci rambut kemudian dibilas dengan air rendamannya. Selepas itu baru dicuci dengan air biasa sebersih-bersihnya.


5. Bagi menghilangkan kelemumur, campur air perahan limau  nipis dengan sedikit air dan genyeh pada kulit kepala. Ada juga yang rajin, mengumpul embun pada awal pagi dan diusap-usap pada pangkal rambut. Ia dipercayai mampu mempercepatkan pertumbuhan rambut serta mengelakkan sakit kepala.


6. Lendir daun bunga raya atau gel lidah buaya elok disapu pada kulit kepala untuk menyejukkannya serta mengelakkan rambut gugur. Ia juga bertindak sebagai perapi.


7. Di kalangan wanita Barat, penggunaan minyak buah pic, ginseng dan minyak bunga kesumba digunakan secara meluas untuk mengatasi rambut gugur. Ada yang menggunakan gel kaktus dan lidah buaya (aloe vera). Wanita Cina dan Jepun pula menyukai pelbagai jenis akar ginseng, akar Dong Quoi, teh herba Cina dan halia untuk merawat rambut mereka.



No comments:

Post a Comment